Kalau mengikutkan keadaan yang biasa, mereka yang pernah buat kesalahan sahaja yang sentiasa dihimpit ketakutan kerana dihambat dosa-dosanya.....
Dr Mahathir ditangkap sebelum Najib jika Pakatan berkuasa, kata Zam
Published: 13 April 2015 1:29 PM
Tan Sri Zainuddin Maidin berkata Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipenjarakan sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 April, 2015
Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin memberi amaran Tun Dr Mahathir Mohamad akan ditangkap sebelum Datuk Seri Najib Razak jika Pakatan Rakyat (PR) menang pilihan raya umum akan datang.
Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata demikian dalam tulisan terkini di blognya semalam sebagai respons kepada kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan pemimpin Umno akan ditangkap dan dipenjara sekiranya Barisan Nasional (BN) tumbang.
"Tentunya apabila PR menang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim akan dibebaskan seperti Dr Mahathir membebaskan 21 orang tahanan ISA sebaik sahaja menjadi perdana menteri," tulis bekas ketua pengarang Utusan Malaysia itu merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri.
"Tetapi, Dr Mahathir sendiri yang dianggap sebagai autoritarian akan ditangkap dan ditahan lebih dahulu dan disusuli dengan tangkapan ke atas Najib dan lain-lain untuk didakwa atas tuduhan salah guna kuasa, skandal 1MDB atau lain lain."
Dr Mahathir menjangka PR akan menangkap dan memenjarakan seteru politik mereka ditakdirkan memegang tampuk kuasa.
Kenyataan sama pernah dikeluarkan Dr Mahathir pada awal 2013.
Dr Mahathir secara sinis berkata beliau lega akan didakwa dan tidak disumbat ke dalam penjara semata-mata di bawah ISA yang baru sahaja dimansuhkan pada masa itu.
Menulis lanjut, Zam berpandangan kenyataan itu dibuat Dr Mahathir sebagai desakan "tersirat tetapi keras dan pedas" supaya Najib meletak jawatan.
"Beliau yakin hal ini akan berlaku sekiranya Najib tidak meletak jawatan dari sekarang untuk memberikan masa yang cukup kepada BN memulihkan keyakinan rakyat," tulisnya.
Sementara itu, Zam turut mengkritik wawancara Najib yang disiar Edisi Khas TV3 baru-baru ini sebagai tergesa-gesa.
Katanya, ia merupakan satu percubaan yang tidak meyakinkan walaupun Najib cuba tampil dengan "wajah yang berani".
"Yang tersembunyi ialah kemunculan Najib yang tergesa-gesa tanpa promosi pengumuman lebih awal menerusi media cetak dan lain-lain media seperti yang biasa dilakukan terutama untuk meyampaikan mesej yang sangat penting kepada rakyat.
"Ia lebih bersifat untuk memenuhi seruan dari dalam parti sendiri terutama dari Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Anggota Parlimen Tan Sri Shahrir Samad yang mahu Najib memberikan jawapan langsung kepada Dr Mahathir.
"Namun, kepada umum tidak ada jawapan. Pementasan sokongan tidak menggambarkan keadaan yang sebenar," katanya. – 13 April, 2015. - sumber
No comments:
Post a Comment