10:30AM Apr 16 2015
oleh Ng Kee Seng
SUARA LANTANG: Sejak Merdeka pada tahun 1957, Malaysia telah berubah daripada sebuah negara berasaskan pertanian, kepada ekonomi pembuatan.
Walaupun transformasi ini berjaya, pengurusan kekayaan negara adalah mengecewakan.
Walaupun kaya dengan sumber semula jadi termasuk minyak dan gas, Malaysia hari ini berhutang sebanyak RM800 juta atau lebih.
Pakar-pakar ekonomi dan kewangan dari kedua-dua belah jurang politik mungkin berbeza pendapat dengan penulis, tetapi itu tidak mengapa. Rakyat Malaysia berhak untuk menyuarakan pandangan dan pemikiran mereka secara bebas.
Bagi kebanyakan orang, jargon ekonomi dan kewangan adalah terlalu kompleks untuk difahami. Kami hanya bergantung kepada logik dan akal untuk membuat keputusan dan terus hidup.
Mereka tidak mempunyai dan tidak memerlukan otak seorang saintis roket untuk memberitahu kenapa semakin sukar untuk mencari nafkah bagi memberi makan orang-orang tersayang.
Mereka juga boleh membuat kesimpulan, secara logik dan dengan mudah, bahawa punca masalah negara ini apabila 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu meminjam daripada seorang hartawan untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM2 bilion, selepas gagal membuat pembayaran balik sebanyak tiga kali.
Banyak yang telah ditulis mengenai masalah sosio-ekonomi dan kewangan yang melanda Malaysia hari ini, dan ia adalah kerana ahli-ahli politik, bidang politik dan pengumpulan kekayaan.
Ia adalah disebabkan rasuah, pengubahan wang haram dan pelarian modal. Dan mengapakah kerajaan persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak memberi maklum balas, kepada pertanyaan mengenai mengapa dana Cayman 1MDB disimpan di Singapura? Apa salahnya jika ia disimpan di Malaysia?
Malah dalam sektor yang tidak begitu berprofil tinggi sekalipun, industri pelancongan, Malaysia terkapai-kapai. Mengapa?
Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan dari Bangkok bahawa ketibaan pengunjung asing di Thailand meningkat 23 peratus kepada 7.8 juta, dalam tempoh tiga bulan pertama 2015.
Pada 7 April, Reuters memetik jurucakap kementerian pelancongan dan sukan, Chanvit Polcheevin sebagai berkata yang pelancong-pelancong dari China, Malaysia, Korea Selatan, Rusia dan Jepun mendahului senarai pelawat.
Bilangan pelawat melonjak 37.8 peratus kepada 337,000 dalam tempoh empat hari pertama bulan April, berbanding tempoh yang sama pada tahun 2014, dengan pertumbuhan bagi bulan itu dilihat berada pada kadar 25 peratus, jelas Chanvit dalam satu kenyataan.
Ketibaan pelancong meningkat untuk bulan kelima berturut-turut pada bulan Februari, meningkat 29.6 peratus daripada setahun yang lalu, kekal pulih selepas satu rampasan kuasa tentera pada Mei lepas, menamatkan pergolakan politik selama berbulan-bulan.
Kementerian itu menjangkakan yang jumlah pelancong asing setahun penuh akan mencapai jumlah 28.8 juta, menjana kira-kira 2 trilion baht (AS$61.43 bilion/RM227 bilion) dalam perolehan pelancongan.
Sebuah negara yang sedang melalui rampasan kuasa oleh junta tentera masih boleh terus menarik pelancong dan berjaya. Mengapakah Malaysia masih bergelut?
Oleh itu, adalah jelas bahawa politik dan kestabilan politik bukan satu-satunya halangan kepada industri pelancongan sesebuah negara.
Produk dan perkhidmatan kekal sebagai tarikan utama pelancongan. Sama ada sesebuah negara berada di bawah pemerintahan junta tentera atau tidak adalah tidak penting, selagi pelancong berasa selamat dan produk dan perkhidmatannya bertaraf antarabangsa.
Apa yang berlaku di Malaysia pada hari ini? Hukum hudud, polis menangkap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan kerana hasutan hampir setiap hari, isu-isu yang berkaitan kalimah Allah dan lain-lain.
Adakah polis telah mencipta rekod dunia untuk Malaysia? Negara yang mempunyai paling ramai rakyat, terutamanya wakil-wakil rakyat yang telah diundi, ditangkap kerana menghasut?
Dan anda perlu bertanya mengapa industri pelancongan Malaysia sedang kalah kepada semua jiran-jirannya.
Sudah jelas siapa yang perlu bertanggungjawab ke atasnya.
Ng Kee Seng percaya bahawa Tuhan hanya akan membantu mereka yang menolong diri mereka sendiri. Dalam sebuah demokrasi yang sihat, setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan masing-masing dalam politik dan pembangunan negara.


No comments:
Post a Comment