Monday, 25 May 2015

Ada kaki yang terpijak duri ke?

1MDB: Ahmad Zahid sedang siasat individu rakam video di ILMU - Ab Rauf



Astro Awani |Kemas kini:Mei 22, 2015
(Diterbitkan pada: Mei 22, 2015 10:49 MYT)







1MDB: Ahmad Zahid sedang siasat individu rakam video di ILMU - Ab Rauf


AB RAUF: 1MDB: Ahmad Zahid sedang siasat individu rakam video di ILMU - Gambar fail



KUALA LUMPUR: UMNO dalam proses menyiasat individu yang merakam video ucapan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan tertutup bersama pemimpin di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik, Sabtu lalu.



Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusuf berkata, siasatan yang diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu juga dijangka selesai dalam sedikit masa lagi.



"Zahid sedang menjalankan siasatan untuk mencari individu yang membuat rakaman semasa perjumpaan tertutup berkenaan.



"Jelas peraturan di ILMU sudah tidak dipatuhi individu berkenaan, ia merupakan satu kesalahan jika ada yang merakam lebih-lebih lagi menyebarkan rakaman video berkenaan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.



BACA:1MDB: "Saya beritahu PM pecat semua ahli lembaga pengarah syarikat" - Muhyiddin



Pada Sabtu, Muhyiddin dilapor meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memecat ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Di dalam video itu, Muhyiddin turut menyeru supaya polis menyiasat syarikat itu.



Dalam pada itu kata Ab Rauf, peserta program di ILMU seharusnya sudah sedia maklum peraturan dan garis panduan di institut berkenaan.



"Sudah jelas di ILMU tidak boleh ada sebarang rakaman dibuat, jadi penyebar video itu sudah dianggap melanggar undang-undang," ujarnya.



Sementara itu tinjauan Astro AWANI ke laman Facebook ILMU mendapati beberapa mesej bergambar termasuk 'selfie' turut dicatat di laman berkenaan.

Siapa perlu berundur?

Siapa perlu berundur, Muhyiddin atau Najib?






| May 22, 2015





Susulan pendedahan video yang menyiarkan luahan hati Muhyiddin, MKT UMNO diminta mengadakan mesyuarat tergempar bagi menentukan nasib Timbalan Presiden itu.












zam,muhyiddin,najibPETALING JAYA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu mengadakan mesyuarat tergempar susulan pendedahan klip video luahan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Pandangan itu diberikan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mempersoalkan ikrar yang dibuat kepimpinan tertinggi parti itu kepada Najib sebelum ini.


Katanya, mesyuarat tergempar ini juga perlu diadakan bagi membincangkan sama ada Muhyiddin wajar dipecat seperti yang dilakukan oleh MKT ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad pada 26 September 1969 setelah Presiden UMNO pada masa itu, Tunku Abdul Rahman Putra mendedahkan ada pihak pelampau yang hendak merampas kuasa dalam parti.


“Sekiranya Muhyiddin tidak dipecat, maka jalan penyelesaian mestilah dicari bagi memastikan kesepaduan UMNO jika salah seorang; iaitu Muhyiddin atau Najib terpaksa berundur”, tulis Zainuddin di blognya,zamkata.blogspot.com.


Jelasnya, kenyataan Muhyiddin ini walaupun secara tertutup tetapi video mengenainya yang terdedah serentak dengan pengumuman Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat menjadi viral yang lebih menarik perhatian rakyat daripada pembentangan rancangan pembangunan lima tahun itu.


Berdasarkan kenyataan Muhyiddin, ia membuktikan tidak ada perpaduan dalam parti menghadapi ancaman Tun Dr Mahathir, 1MDB, krisis politik dan ekonomi.


Menurut Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam, pendirian tegas Timbalan Presiden UMNO mengenai 1MDB tidak boleh diperkecilkan kerana beliau juga mempunyai pengaruh yang kuat dalam parti. Ia telah menimbulkan kegemparan dan menggoncang keyakinan dalam UMNO dan juga di kalangan rakyat.


“Muhyiddin tidak lagi dapat berselindung di sebalik sehelai lalang atas sokongannya terhadap Tun Dr. Mahathir yang mahukan kekotoran 1MDB dibersihkan sebelum wabaknya menghancurkan UMNO dan kerajaan.


“Kenyataan Muhyiddin, bahawa Najib tidak mahu dengar cakapnya mengesahkan cakap-cakap Tun Dr. Mahathir dan juga beberapa pihak, bahawa Najib tidak mahu dengar cakap orang.


“Keraguan rakyat terhadap kesepaduan pucuk pimpinan dan kestabilan parti berkuasa tidak boleh dibiarkan terus berlaku sehingga Pilihan Raya Umum akan datang, kerana wabaknya sedang merebak melibatkan kestabilan ekonomi negara dan juga masa depan UMNO,” komennya sebelum mengakhiri entri berkenaan.

Angkara siapa agaknya?

Dah 5 tahun beroperasi baru sekarang di temui?

Bukankah pelik bin ajaib?



Polis temui kubur, khemah penempatan pelarian


mk - 6:34PM - 24 May 2015





Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan penemuan kubur-kubur besar berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.

Zahid berkata beliau dimaklumkan tentang penemuan itu oleh unit VAT 69 dan PGA pada minggu lepas.

Terkejut dengan penemuan itu, beliau berkata khemah-khemah tersebut dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

"Hari ini, ketua polis negara dan timbalannya berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Maktab Penjara Malaysia, di Kajang hari ini.

Zahid berkata kubur-kubur itu dikenal pasti sebagai kubur kepada pelarian dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

"Mungkin, satu kubur memuatkan tiga, empat atau hanya satu mayat. PGA dan VAT 69 masih menjalankan siasatan dan memeriksa kawasan itu. Dengan kerjasama Thailand, kami akan menjumpai lebih banyak mayat," katanya.

Zahid berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, akan mengumumkan perincian perkara itu dalam masa terdekat.




# Minta maaf banyak kerana jarang update blog. Biasalah bila berada di KL memang menghadapi kekangan masa.......

Tokoh muda PAS tidak memiliki kualiti sebagai pemimpin nasional?

Mat Taib: Ada yang tak kena pada PAS


mk - 23 May 2015





"Kalau rasa masuk PAS hanya untuk mendapatkan keredaan Allah, Putrajaya tak penting, saya rasa ada yang tak kena dengan dia," kata Tan Sri Muhammad Muhammad Taib hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas kemunculan kumpulan ulama tertentu dalam PAS yang bermati-matian mempertahankan presiden mereka danmenolak bekerjasama dengan Pakatan Rakyatuntuk mengalahkan kerajaan.
Bagaimanapun bekas Naib Presiden UMNO itu tidak menyebut sebarang nama dalam kenyataan berkenaan.

Menurut Muhammad PAS kini kekurangan pemimpin muda yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin dalam negara.

"Walaupun ada tokoh muda yang baik dan alim menyetai PAS, mereka tidak memiliki kualiti sebagai pemimpin nasional," katanya.

Kumpulan itu, katanya, mungkin mahir menjadi imam dalam solat atau acara keagamaan namun gagal memahami isu semasa seperti skandal 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta hubungan antarabangsa.

Itu pun tak tahu

"Boleh baca ayat al-Quran, hafal ini itu (di luar negara), balik jadi pemimpin. Tapi golongan muda ni kalau mintak terangkan 1MDB, tak tahu. Pasal GST tak berani. Pasal hubungan antarabangsa tak faham.

"Kenapa Turki hantar kapal perang nak bantu pelarian Rohingya pun tak tau," katanya.
Menurut Muhammad, kalau seseorang itu menjadi ketua hanya kerana tahu membaca al-Quran dan hadis semata-mata tanpa memahami realiti, ia tidak memadai untuk diangkat sebagai pemimpin.

Sementara itu Muhammad juga menyatakan rasa kecewa terhadappertelingkahan dalam Pakatankerana gabungan itu sepatutnya menjadi alternatif terbaik menggantikan BN.

Katanya, dengan berpecah-belah, Pakatan terlepas peluang berkenaan.

"Bagus kalau ada sistem dua parti - Pakatan dan BN.

"Mana-mana yang mampu memberikan yang terbaik wajar mentadbir negara," katanya.

Tak payah cakap, semua orang dah pun tahu!

Guan Eng dakwa Abdul Hadi tikam Pakatan Rakyat dari belakang



Astro Awani |Kemas kini:Mei 24, 2015
(Diterbitkan pada: Mei 24, 2015 21:45 MYT)


Video di sini




Guan Eng dakwa Abdul Hadi tikam Pakatan Rakyat dari belakang


Lim berkata, pemimpin-pemimpin PAS termasuk Mahfuz Omar tidak boleh menutup mata tentang hasrat parti itu yang mahu bergabung dengan UMNO. - Foto Astro AWANI



KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menuduh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menikam Pakatan Rakyat dari belakang pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini.



Katanya, selain tidak menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon PRK Permatang Pauh, Abdul Hadi juga langsung tidak hadir ke Permatang Pauh bermula hari penamaan calon sehingga tiba hari pengundian.



Menurut Lim, itu tidak sepatutnya berlaku dan jelas menunjukkan Abdul Hadi tidak komited terhadap dasar bersama pakatan pembangkang.



“Kita tidak kacau PAS... kita hanya jawab bila PAS kacau kita dan bila PAS putar belitkan apa yang sebenarnya berlaku, saya rasa bahawa pemimpin-pemimpin PAS tidak kira Mahfuz atau mereka yang hendak sokong sama Hadi itu hak mereka, tetapi janganlah tutup mata ke atas hasrat PAS untuk menubuhkan kerajaan gabungan dengan UMNO itu amat nyata sekali.



“Dan PRK Permatang Pauh presiden mereka tidak hadir langsung itu tidak apa lah mungkin dia sibuk sangat... ada tugas lebih penting, tetapi bila ditanya samada sokong Kak Wan sebagai calon PR dekat Permatang Pauh keengganan beliau untuk sokong Kak Wan saya rasa adalah sesuatu yang boleh dianggap tikam belakang dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.



Lim mengulas tentang desas desus yang mengatakan PAS mahu bergabung dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan perpaduan.



Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi turut menyelar Abdul Hadi dengan menyifatkannya beliau sebagai perosak kerjasama antara DAP, PKR dan PAS.



Lim berkata, pemimpin-pemimpin PAS termasuk Mahfuz Omar tidak boleh menutup mata tentang hasrat parti itu yang mahu bergabung dengan UMNO.



“Jadi saya rasa itulah kalau nak sertai UMNO Barisan Nasional, pergilah tetapi jangan cari alasan dengan menghentam DAP supaya dapat membuka jalan untuk masuk UMNO... saya rasa ini budak-budak pun boleh tau apakah muslihat sebenar serangan macam ini ke atas DAP, saya melihat dia tidak membuat serangan sedemikian terhadap UMNO,” katanya.



Lim berkata demikian dalam sidang media selepas majlis kempen derma darah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Bendera pada Ahad.

Jadi siapa yang bohong?

1MDB, Pegawai MOF atau Menteri yang menipu?

Dah jadi makin berserabut da merapu!



MOF: Najib tak bohong, kementerian pinda jawapan


mk - 6:00AM - 25 May 2015





Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa ia meminda jawapan bertulis di Parlimen mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk "mengelakkan kekeliruan".



Penjelasan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir MohamadmendakwaMenteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak "berbohong" berhubung perkara itu.



Ia menjelaskan bahawa bahawa jawapan bertulis Parlimen yang dibuat oleh perdana menteri mengenai kedudukan kewangan 1MDB di bank BSI Singapura telah ditulis dan disemak oleh pegawai kementerian berdasarkan maklumat dari IMDB.



"Kementerian Kewangan telah meminda jawapan asal yang telah dibuat pada 10 Mac 2015 agar tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan kewangan 1MDB di BSI Singapura dan selaras dengan tuntutan urusan Parlimen.



"Tindakan Kementerian Kewangan meminda jawapan asal adalah bukti ia tidak berniat sama sekali hendak berbohong mengenai perkara tersebut.



"Lantas, dakwaan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Najib yang juga menteri kewangan telah berbohong adalah tidak wajar," dalam satu kenyataan lewat semalam.



Tambahnya, ini kerana lazimnya jawapan bertulis di Parlimen dibuat atas nama beliau berdasarkan maklumat yang diberikan oleh agensi berkenaan yang kemudiannya disemak dan diedarkan oleh para pegawai.



"Kementerian Kewangan telahpun mengambil tindakan sewajarnya agar perkara ini tidak berulang," kata kenyataan itu lagi.



Jawapan bertulis pada 10 Mac menyebut AS$1.103 bilion (RM3.6 bilion) disimpan dalam bank Singapura itu dalam bentuk wang tunai, tetapi kemudiannya menjelaskan ia adalah dalam bentuk aset.



Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Hanadzlahberkata, ia adalah "simpanan dalam bentuk unit".

Sape kata Mamat ni bijak?

Dahlah kurang bijaknya, pengecut pula

Hanya berani tunjuk jantan di fb saja.......

Rupanya selama ini dia hanya bermodalkan karisma arwah bapak saja?

Belum lagi dicabar berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, DAP atau PKR.......sesama sendiri pun dah kecut telor!



Inikah sosok yang pemuda PAS akan pilih sebagai ketua?



Pendekatan Nik Abduh Tak Bijak - AJP Pemuda PAS


Oleh:ARIFFUDDIN ISHAK





PETALING JAYA:Keengganan calon Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil sepentas dengan Suhaizan Kayat menerusi program debat atau wacana dianggap sebagai tindakan yang tidak bijak.

Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS, Mohd Fakhrul Razi Mohd Mokhtar berkata, wujud keperluan bagi dua individu berkenaan untuk tampil menyatakan hala tuju masing-masing menjelang pemilihan kepimpinan baharu sayap itu Jun ini.

"Jika Suhaizan sudah bersedia mengapa Nik Abduh tidak mahu sepentas? Apa salahnya medan wacana ini dijadikan medan tautan ukhuwwah setelah sebelum ini masing-masing sukar duduk bersama sepentas walaupun pernah bekerjasama semasa menganggotai kepimpinan Pemuda PAS di bawah ustaz Nasrudin Hassan.

"Anak muda hari ini mahu melihat idea-idea yang boleh bantu mereka berdepan dengan keadaan ekonomi serta politik yang caca merba," katanya menerusi kenyataan di sini.

Sebelum ini, dilaporkan Nik Mohamad Abduh menolak untuk berdebat dengan Suhaizan yang merupakan penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS seperti yang dicadangkan sesetengah pihak.

Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS itu sebaliknya selesa untuk mengambil pendekatan berdiam diri dan berpendapat adalah lebih wajar sekiranya ahli parti menilai setiap calon berdasarkan prestasi masing-masing.

Suhaizan bagaimanapun menyatakan persetujuan untuk terlibat dalam program wacana bersama Nik Mohamad Abduh dengan hati terbuka.

Adakah semua Ahli PAS meluat dengan DAP?

Kalau nak kata menghimpit dan menyerang.......hakikatnya sama-sama menyerang dan mencemuh

Aku nampak bibit perpecahan bermula bila Hadi menyokong Khalid Ibrahim dan menolak Wan Azizah lagi

Sejak dari itulah rekahan dalam PAS semakin melebar sehinggalah label melabel dan terbitnya buku-buku setan dengan tuduhan perbagai



Sehingga kini ada Pak-Pak Lebai meberikan komen dan kritik tentang itu?



Ahli Pas meluat dengan DAP






| May 25, 2015





Tindakan DAP berterusan menyerang parti dan Presiden Pas dianggap sedang menolak Pakatan Rakyat ke ambang perpecahan.












tuan-ibrahim_pas_dap_600PETALING JAYA: Ahli Pas di peringkat akar umbi meluat dengan DAP yang berterusan mengkritik dan mencampuri urusan dalaman parti itu.


Naib Presiden Pas, Datuk Ibrahim Tuan Man memberi peringatan, jangan salahkan Pas sekiranya hubungan parti itu dengan DAP terputus yang disebabkan sikap pemimpin parti itu yang tidak henti-henti menyerang kepemimpinan Pas.


“Jika benar DAP sayangkan Pakatan Rakyat, hentilah menyerang Pas. Lupakanlah dan jauhilah sifat bermusuh, hormatilah perbezaan dan berusahalah untuk mendiamkan diri jika tiada apa yang baik untuk disebut mengenai rakan tahaluf.


“Jika tidak, jangan salahkan Pas seandainya tahaluf dengan DAP ini terungkai kerana ahli Pas akan tetap pertahankan prinsip perjuangan parti lebih-lebih lagi selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Aziz,” katanya.


Tuan Ibrahim mengakui kenyataan Lim Kit Siang bahawa Allahyarham Nik Aziz sayangkan Pakatan Rakyat, namun bekas Mursyidul Am Pas itu tidak akan sesekali menggadaikan prinsip parti demi memenuhi tuntutan rakan tahaluf yang mengharapan Pas melupakan cita-cita Islamnya.


Tuan Ibrahim yang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Pas pada pemilihan bulan depan, sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan bergabung dengan UMNO seperti yang didakwa.


“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa tuduhan Pas akan bergabung dengan Umno hanyalah fitnah.


“Majlis Syura Pas telah menegaskan perkara ini baru-baru ini. Soalan saya masih sama, berapakah kerusikah yang Umno sanggup beri ke Pas sekiranya betul gabungan politik ini berlaku? 40? Hujah ini sahaja sudah cukup untuk mematahkan fitnah ini daripada berterusan,” katanya.

Nak pakai, pakailah tapi aku kena reserve dulu

Mahfuz beri jaminan tiada usaha PAS gabung dengan Umno




Published: 25 May 2015 6:00 PM




Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS konsisten dengan ketetapannya bersama Pakatan Rakyat (PR) dan tidak akan sesekali mengkhianati pegangan itu dengan membentuk kerajaan perpaduan bersama BN. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 Mei, 2015.





Datuk Mahfuz Omar hari ini menolak sekeras-kerasnya dakwaan wujudnya usaha dalaman ahli parti Islam itu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional (BN).


Ketua Penerangan parti itu berkata, PAS konsisten dengan ketetapannya bersama Pakatan Rakyat (PR) dan tidak akan sesekali mengkhianati pegangan itu dengan membentuk kerajaan perpaduan bersama BN.


"Usah terlalu mudah mempercayai khabar fitnah isu 'unity government' (kerajaan perpaduan) yang tidak berkesudahan ini, termasuk apa yang diucapkan mantan timbalan presiden PAS.


"Bahkan, Majlis Syura Ulama PAS turut membuat penafian kononnya majlis itu dan ahlinya ada yang berusaha membentuk kerajaan perpaduan PAS dengan Umno-BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau dipercayai merujuk kepada bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang disebut oleh bekas pemimpin PAS Datuk Hassan Ali, dalam sebuah video lama tahun 2013, menyokong usaha gabungan itu.


Hassan dalam ucapannya dalam video itu mendakwa sememangnya wujud usul menggabungkan PAS dan Umno yang dinamakan 'usul UG' dibawa presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.


Katanya, usul menggabungkan PAS dan Umno itu disokong pelbagai pihak dalam PAS, termasuk Nasharudin dan beliau sendiri.


Hassan dalam video tersebut menegaskan Hadi sangat pro kepada penggabungan PAS dan BN, tetapi dihalang puak Anwarinas dan pro bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat.


Video tersebut ialah rakaman sesi soal jawab pada satu program dihadiri penggiat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dari seluruh negara yang berlangsung di Kem Permata Resort, Melaka.


Mahfuz berkata, sekiranya benar wujud usaha melaksanakan kerajaan perpaduan itu, beliau pemimpin pertama dalam PAS yang akan menentangnya.


"Saya turut memberi jaminan tidak ada pihak di dalam PAS yang ingin membawa kepada penyertaan PAS ke dalam BN, tetapi sekiranya ada, saya sendiri menjadi orang pertama akan menentang usaha tersebut.


"Saya menyeru semua pihak dalam PR berjiwa besar dan optimis mempertahankan kerjasama ini. Usahlah bersifat negatif dan pesimis kerana ia hanya mengeruhkan lagi hubungan (PR) yang kian longgar," katanya.


Pada masa sama, Mahfuz turut membidas DAP yang dilihat terlalu menentang hasrat parti Islam itu melaksanakan hudud dengan menegaskan ia merupakan hak demokrasi parti Islam itu sejak 1990.


"Bukankah DAP sebagai parti yang mengaku pejuang demokrasi tulen sepatutnya menghormati hak dan suara pihak lain yang secara sah mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri Kelantan.


"Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya Parlimen memberi kelulusan," katanya.


Beliau berkata PAS tidak akan menghalang dan akur sekiranya DAP atau BN menolak Rang Undang-Undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) yang dibawa Hadi kerana ia merupakan keputusan Parlimen. – 25 Mei, 2015.



Op Wawasan Khas: Lagi penemuan di sempadan (foto)

Operasi di sempadan temui tiga bahagian mayat mereput



Adie Sufian Zulkefli,Astro Awani |Kemas kini:Mei 25, 2015
(Diterbitkan pada: Mei 25, 2015 21:31 MYT)







Operasi di sempadan temui tiga bahagian mayat mereput


Kelihatan beberapa anggota forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang membawa beg plastik berisi rangka mayat mangsa pemerdagangan manusia yang pertama berjaya diturunkan ke Markas Tektikal (MARTEK) Wang Kelian hari ini. - Foto Bernama



WANG KELIAN: Proses pencarian di bawah Op Wawasan Khas yang dilakukan sepasukan anggota polis dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menemui 3 bahagian mayat yang tercerai dan hampir reput hari ini.



Mayat ditemui di sebuah bangsal di Bukit Wang Burma di sini hanya beberapa meter dari tembok sempadan negara.



Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail, proses pencarian itu bermula jam 9.20 pagi tadi dengan kekuatan seramai tujuh pegawai dan 24 anggota forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Unit Pemusnah Bom dan turut dibantu anggota PGA.



BACA:139 kubur, 28 kem pemerdagangan manusia ditemukan



BACA:Kubur besar pelarian disyaki ada kaitan aktiviti pemerdagangan manusia - Zahid



Pendakian selama dua jam ke lokasi berkenaan membawa kepada penemuan 3 bahagian mayat terbabit yang hampir reput dan tercerai antara bahagian kepala, badan serta kaki.





Kubur Bernama


Penemuan itu hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015' oleh 300 anggota polis Komando VAT 69 dan Pasukan Gerak Am (PGA) dari 11 Mei hingga Sabtu lepas. - Foto Bernama




“Selepas lebih kurang tiga jam berada di lokasi bagi membuat tugas operasi dan sebagainya kami telah menjumpai mayat reput di dalam sebuah bangsal berukuran 48 kali 22 kaki.



"Mayat tercerai dalam tiga bahagian turut ditemui ialah dua pakaian panas dua selimut dan seluar panjang,” kata Rizani ketika ditemui di Markas Tektikal (MARTEK) Wang Kelian, siang tadi.



Selain itu Rizani juga memaklumkan proses penggalian kubur masih belum bermula ekoran daripada penemuan mayat tersebut selain identiti mayat yang masih belum dapat dikenal pasti.



Ia dijangka dimulakan esok.





Kubur Bernama


Gambar keadaan kem pemerdagangan manusia berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Kem tersebut dikesan hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015'. - Foto Bernama




Sementara itu, menurut laporan Bernama, satu rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dibawa keluar dari hutan Wang Kelian, petang tadi.



Rangka dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat sebelum tindakan selanjutnya diambil.



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem haram yang dipercayai digunakan oleh sindiket pemerdagangan manusia di sebelah Malaysia di Wang Kelian.



Lagi gambar di sini

Kerana belit Shafee Peguam lain pun ragu-ragu!

Peguam: Ada kemungkinan PM langgar undang-undang


mk - 10:21AM - 26 May 2015





Beberapa pengamal undang-undang jenayah bersetuju dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jawapan yang bercanggah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengenai 1MDB, mungkin merupakan satu jenayah.

Dr Mahathir mendakwa Najib berbohong tentang di mana AS$1.103 bilion (RM3.97 bilion) dana 1MDB, dan oleh itu, telah berkata bahawa ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 218 Kanun Keseksaan.

Peguam kes jenayah, Amer Hamzah Arshad percaya apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir itu "mempunyai beberapa asas" tetapi menegaskan ia boleh dihujah sama ada Najib, sebagai perdana menteri, adalah seorang penjawat awam atau sebaliknya.



"Bagaimanapun, Najib, atas kapasitinya sebagai pengerusi (lembaga penasihat) 1MDB boleh disiasat di bawah Seksyen 218 Kanun Keseksaan," kata Amer (foto) kepadaMalaysiakini.

Beliau merujuk kes bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo, yang menurut Ameer, telah disabitkan atas kesalahan rasuah kerana Khir juga pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semasa tempoh perkhidmatannya.

Bagaimanapun, peguam Khir itu, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, berhujah dalam rayuan Khir di Mahkamah Persekutuan pada tahun lepas bahawa tuduhan rasuah terhadap Khir adalah cacat kerana beliau bukan seorang penjawat awam sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Kanun Keseksaan.

Khir Toyo didakwa atas kapasitinya sebagai menteri besar. Menteri besar bukan seorang penjawat awam, sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 21 Kanun Keseksaan, Shafee dilaporkan berkata.

Seksyen 21 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa penjawat awam ditakrifkan sebagai sama ada seorang pegawai yang ditauliahkan dalam Angkatan Tentera, hakim, pegawai mahkamah, juri, penimbang tara, seseorang yang memegang apa-apa jawatan dan seorang pegawai kerajaan.

Amer berkata kedudukan perdana menteri, menteri-menteri kabinet dan ketua menteri nampaknya tidak termasuk di bawah Seksyen 21 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya, beliau bersetuju bahawa dari segi istilah orang biasa, perdana menteri dan anggota kabinet adalah penjawat awam kerana mereka sepatutnya berkhidmat kepada rakyat.

Thursday, 21 May 2015

Muhyiddin "Menyambut tangan Dr Mahathir" untuk menyingkirkan Najib?

Perhatian beralih dari Najib ke Muhyiddin


mk - 3:45PM - 21 May 2015





Semua mata sepatutnya tertumpu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang membentang Rancangan Malaysia ke-11 yang menggariskan hala tuju negara bagi tempoh lima tahun akan datang.



Tetapi ketika beliau menggariskan visinya dalam pembentangan tersebut, yang berakhir lebih daripada satu jam, muncul pula berita mengenai sebuah video.



Rakaman itu menunjukkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa tindakan diambil terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Beliau mahu lembaga pengarahnya dipecat dan pihak pengurusan atasannya disiasat. Beliau juga mengadu yang Najib tidak mendengar cakapnya.



Walaupun ucapan itu dibuat pada hari Sabtu, rakaman tersebut, bagaimanapun dimuat naik di YouTube semalam oleh seorang bekas editorNew Straits Times.



Wartawan veteran itu, Firdaus Abdullah, diketahui rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.



Malah blognya juga dinamakan sempena sebutan yang sering digunakan oleh bekas perdana menteri itu -Apanama.



Oleh itu, persoalannya ialah sama ada video itu sengaja dimuat naik dan diedarkan bagi mengalih perhatian daripada pembentangan RMK11 oleh perdana menteri.



Dan seperti yang dijangka, kenyataan Muhyiddin mengenai 1MDB telah menjadi tumpuan berbanding dengan RMK-11.



Cetuskan spekulasi



Berikutan ucapan Najib, timbalan perdana menteri mengulangi di Parlimen bahawa beliau tetap dengan pendirian menggesa lembaga 1MDB dipecat dan menegaskan bahawa ia pandangan

peribadi, yang berbeza dengan bosnya.



Sekali lagi, ia mencetuskan spekulasi sama ada timbalan perdana menteri telah "menyambut tangan Dr Mahathir" untuk menyingkirkan Najib.



Pendirian Muhyiddin dalam isu ini telah menjadi kabur, jika pun tidak mengelirukan.



Apabila Mahathir mula melancarkan kritikan pedasnya, Muhyiddin meminta bekas perdana menteri itu memberi peluang kepada Najib untuk membuktikan kemampuannya.



Kemudian, apabila Dr Mahathir mengeluh bahawa beliau bersendirian dalam mengejar kebenaran, Muhyiddin memberitahu bekas perdana menteri itu sebaliknya.



Kemudian Najib menarik Muhyiddin dua kali ke dalam gelanggangnya.



Yang pertama apabila beliau memetik nenek moyangnya orang Bugis dan pelaut yang berani, dengan berkata beliau mahupun timbalannya tidak akan tunduk kepada tekanan.



Kedua, apabila beliau mendedahkan bahawa Majlis Tertinggi Umno menyokong kepimpinannya dan Muhyiddin.



Bagaimanapun, rakaman video terbaru itu telah mengubahnya sekali lagi, dan menimbulkan persoalan sama ada Najib akan dapat bertahan sehingga selesai rangka tindakan lima tahunnya mengenai ekonomi dan sosial?



A kadir menyambut lidah Muhyiddin:Siasat 1MDB gaya AirAsia Indonesia

Kenapa Pemuda PAS tunjuk peduli hal dalaman UMNO?

Hal dalaman rumah tangga sendiri dah tenang dan selesai ker belum?

Bahtera PAS yang senget dah diimbang atau belum?

Dahkah Nakhodanya hilang mabuk?



Kenapa hanya berani mencabar keberanian orang Johor saja?

Bukankah ada tiga pilihan kalau tidak setuju dengan boss?

Iaitu melawan, letak jawatan atau dipecat

Bukankah melawan dengan menggunakan fakta dan otak sehingga menang atau dipecat itu lebih bermaruah?

Hanya yang bacul saja mengalah dan meletak jawatan dengan membiarkan kebobrokan berterusan!



PAS minta Muhyiddin contohi Musa Hitam, letak jawatan

Published: 21 May 2015 6:25 PM




Sebagai orang Johor, Tan Sri Muhyiddin kena berani ambil tanggungjawab letak jawatan sebagai timbalan perdana menteri seperti Tun Musa Hitam dahulu, kata Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Mei, 2015.




Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin mencontohi bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam yang berani meletakkan jawatan apabila tidak bersetuju dengan perdana menteri.


"Sebagai orang Johor, Muhyiddin kena berani ambil tanggungjawab letak jawatan sebagai TPM seperti Musa Hitam dahulu.


"Apa guna duduk dalam kerajaan jika tidak sehaluan?" kata Suhaizan Kaiat kepada The Malaysian Insider.


Bagi beliau, Najib pun tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berundur.


"Bagaimana Muhyiddin mahu buat perubahan jika Najib tidak rasa bersalah dan mahu berubah?


"Najib sudah jadi liabliti kepada Umno," kata ketua pemuda PAS itu ketika mengulas kenyataan Muhyiddin melalui video yang kini menjadi viral di media sosial.


Dalam video itu, Muhyiddin berkata, ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya dipecat dengan segera.


“Saya beritahu perdana menteri, pecat semua mereka, lembaga pengarah 1MDB. Buang mereka! Mereka yang menjadi beban kepada perdana menteri ,” katanya dalam satu majlis taklimat tertutup yang turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. – 21 Mei, 2015. - sumber

Wednesday, 20 May 2015

Komen yang berfakta tapi ramai akan marah!

Ini semua pertanda ketidak mampuan Nakhoda mengemudi bahtera

MONDAY, MAY 18, 2015



Anggota PAS diingatkan supaya menerima hakikat bahawa mereka sedang berdepan masalah dalaman yang berpotensi memecahbelahkan parti.



Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara itu akan berlaku jika ia tidak ditangani dengan baik.




“Hentikan tindakan label-melabel, dan membeza-bezakan antara ahli PAS. Jangan ambil maklumat tepi jalan dan mudah percaya pada hantu-hantu di laman sosial yang tidak dikenali.




“Tindakan ini telah membuka pintu kepada musuh memporak-perandakan PAS. Ruang ini perlu ditutup rapat,” katanya yang juga calon timbalan presiden PAS bagi mencabar penyandang Mohamad Sabu.




Dalam kenyataannya hari ini ketika mengumumkan kesediaannya bertanding, Tuan Ibrahim menggesa anggota PAS bersatu padu dengan kesatuan fikiran dan tindakan.




“Selain itu, semua ahli di semua peringkat wajib memikul amanah dalam menjaga rahsia jemaah.




“Ingatlah bahawa Allah melihat setiap perbuatan kita, termasuklah maklumat yang kita sebarkan,” katanya lagi.~sumber




Komen al-Husseyn:




Hanya baru kini Mamat ini menyedari berlakunya perpecahan dalam PAS?




Hanya setelah kawasan-kawasan semua habis buat mesyuarat dan berjaya menyingkirkan mereka yang cendrung mempertahankan Pakatan Rakyat.




Setelah DS Nizar dan Dr Khairudin Datuk Malik (hanya sebagai contoh) tersingkir di kawasan masing-masing lantaran surat layang yang memfitnah kononnya mereka menolak hukum hudud. Dan surat dan sampul yang diedarkan itu terdapat bukti bahawa peralatan dari Pejabat Perhubungan PAS Negeri Perak sendiri telah digunakan?




2.Siapa yang patut menangani perkara masalah dalaman parti kalau bukan presiden sendiri? Apa tindakan presiden terhadap perkara-perkara berikut:




a) Demo pemuda depan pejabat Agung yang menuntut Dr Hatta dan beberapa yang lain supaya meletak jawatan?




b) Tindakan keluar beramai-ramai memboikot Timbalan Presiden PAS sewaktu beliau berucap merasmikan Muktamar Pemuda yang lepas.




c) Pemboikotan Yusni Mat Piah dan Dewan Pemuda Pulau Pinang dalam PRK Permatang Pauh yang baru lalu?




Ada banyak lagi kalau nak di senaraikan.Itu pun belum masuk lagi salah laku presiden sendiri dalam isu perlantikan MB Selangor yang lalu.




Presiden perlu dipertanggungjawabkan.Kekalutan semua ini membuktikan ketidak mampuan Nakhoda melayarkan batera dengan lancar.




Siapa yang gemar sangat label melabel nih? Siapa yang kena label sebagai Jebon, Munafiq Haraki, Setan, Islam Liberal, Menolak Hudud, Anti Ulama....bagai lagi...




Disebaliknya, siapa yang menggelar diri mereka sendiri sebagai ulama',sebagai penyokong ulama.Ngaku sebagai penyokong hudud.Ngaku yang baik-baik belaka.




Hok yang molek dapat kedemer. Yang hodoh-hodoh bagi ke orang lain! Takkanlah Mamat ni tak sedar lagi?




Mamat ni sendiri pendiriannya pun pelik. Orang nak bertanding kerusi presiden dia marah! Dia sendiri cabar Mat Sabu boleh pula? Apakah sebab Mat Sabu bukan seorang ulama? Tidak rasional langsung !




Memanglah Allah Maha Melihat - Innallaha sami'un basyir - Sesungguhnya Allaha Maha mendengar dan Maha melihat. Tapi takkanlah Mamat dan Nakhoda kita ni perkara yang saya sebutkan diatas tu pun tak nampak? - sumber

Kenapa tidak undurkan diri saja?

Bila kerja murni kita dipertikaikan.......pada aku lebih baik tarik diri ajer

Berikanlah kerja itu kepada yang dikatakan 'lebih jujur' dan 'lebih baik'

Jangan diharapkan dapat bukti dan fakta daripada manusia bodoh menuduh!



Asmuni: Tak puas hati pecat saya


mk - 12:47PM - 20 May 2015





Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Asmuni Awi hari ini mengaku terguris perasaan apabila kewibawaannya mengelolakan pemilihan parti itu dipertikaikan.

Beliau malah berkata sedia dipecat daripada jawatan itu jika terbukti beliau berat sebelah.
“Kalau ada cadangan yang baik sila bagi cadangan, jangan main tembak sahaja.

“Lainlah kalau kamu tidak yakin dengan saya sebab saya dilantik oleh Jawatankuasa Pusat (PAS).

“Saya sebenarnya sebagai manusia rasa terguris, Kalau awak tak yakin, sila pecat saya,” katanya yang kelihatan beremosi.

Pengamal undang-undang itu juga meminta pihak yang tidak berpuas hati supaya berterus terang supaya mudah jika beliau mahu mengambil tindakan undang-undang.

Ipoh-KL tiap malam

Beliau diminta mengulas kenyataan pemimpin PAS Kuala Nerus M Shukrimun Shamsuddin yang menggesanya meletak jawatan kerana didakwa berat sebelah.

Yang dipertuan PAS kawasan itu berkata terdapat suara menuntut Asmuni ditukar selepas rekod kerjanya pada sesi lepas.
Sementara itu, Asmuni juga berkata beliau bekerja keras menguruskan pemilihan PAS apabila hampir setiap hari berulang alik dari rumahnya di Ipoh ke Kuala Lumpur untuk bermesyuarat setiap malam.

“Untuk kata bimbang pada saya (berat sebelah) itu tidak adil, kita buat kerja dulu. Kita adakan mesyuarat hampir setiap malam dan saya berulang alik dari Kuala Lumpur, saya tinggal di Ipoh.

“Saya mengatakan saya buat yang terbaik (untuk pemilihan), buat semua perkara untuk pastikan semuanya teratur,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, beliau sedia melepaskan jawatan yang disandangnya sebelum pemilihan jika diminta berbuat demikian.

“Kalau esok nak buat buat pemilihan, hari ini pun boleh pecat saya, apa masalahnya,” katanya.








ANALISIS PENCALONAN MUKTAMAR PAS KE-61: BAYANGAN KABINET PAS 2015 – 2017?


28 April 2015


Setakat ini, sebanyak 134 dari 191 PAS Kawasan seluruh negara telah direkod mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan mereka. Daripada jumlah itu, 98 Kawasan telah mencalonkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden. Turut dicalonkan ialah Dato Husam Musa dan Ustaz Ahmad Awang masing-masing dengan lapan (8) dan lima (5) pencalonan.



Bagi kerusi Timbalan Presiden pula, Dato Tuan Ibrahim mengungguli apabila mendapat 93 pencalonan mengatasi penyandang, Haji Mohamad Sabu dengan hanya 12 pencalonan sahaja.


Untuk jawatan Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad mencatat tertinggi dengan 78 pencalonan, diikuti Dato Mohd Amar (46), Salahuddin Ayub (45), Ust Nasrudin Hassan (42), Dato Mahfuz Omar (39) dan Dato Iskandar Samad (28).


Dato Husam Musa selaku penyandang jawatan mencoroti senarai dengan hanya 12 pencalonan. Manakala turut tersenarai ialah Dato Dr Mujahid (5) dan Mohamad Sabu (3).


Pencalonan bakal berakhir pada 30hb ini. Daripada maklumat di atas, beberapa analisa boleh dibuat, antaranya:


1. Muktamar kali ini menampakkan sedikit kelainan apabila kebanyakan kawasan mula bercakap tentang kepimpinan. Sebelum ini, PAS terkenal dengan ahlinya yang tidak mempedulikan jawatan. Namun ia bukanlah suatu yang negatif kerana perwakilan kawasan-kawasan bukan merebut jawatan untuk diri masing-masing, tetapi berusaha menyedarkan ahli supaya tidak semberono dalam menilai calon agar benar-benar dapat memperjuangkan matlamat penubuhan PAS.


2. Walaupun isu paling panas diperkatakan dalam PAS hari ini adalah mengenai kegagalan Presiden PAS mentadbir parti, tetapi kepimpinannya masih diharapkan oleh akar umbi dengan 87.5% dari pencalonan presiden yang diumumkan. Ini menunjukkan ahli PAS masih bersama aspirasi Presiden dan beliau tidak keseorangan seperti yang digambarkan media.


3. Mohamad Sabu sepatutnya mendapat pencalonan yang tinggi kerana kelebihan sebagai penyandang. Malangnya pada kali ini hanya 10% akar umbi PAS yang memilihnya. Perkara ini berkemungkinan berlaku dari prestasi beliau yang dilihat tidak memainkan peranan sebagai pembantu Presiden, tetapi lebih menyebelahi rakan lain apabila berlaku pertembungan antara mana-mana pihak dengan Presiden.


4. Dato Nik Amar juga muka baru yang dipilih akar umbi untuk jawatan Naib. Nama beliau melonjak dari ketegasannya mempertahankan dasar dan manhaj PAS. Malah, perjuangan PAS terhadap agenda hudud terakam dari vokal beliau yang menonjol berbicara mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan, selain bintangnya bersinar sebagai pelapis MB Kelantan. Ini juga menjadi indikator bahawa ahli bawahan PAS teguh bersama hasrat PAS dan Kerajaan Negeri Kelantan kepada agenda hudud.


5. Calon Presiden, Dato Husam Musa pula menerima nasib serupa Haji Mohamad Sabu. Namanya bukan sahaja tidak menjadi pilihan ramai untuk jawatan Presiden, malah jawatan Naib Presiden yang disandang beliau juga 'ditolak' oleh akar umbi. Faktornya mungkin kerana sikapnya yang dilihat mendalangi penubuhan PasMa dan pendirian beliau yang berbeza dengan keputusan PAS Pusat terhadap PasMa. ‘Nasib’ diterimanya itu turut menjadi ‘mesej’ bahawa ahli PAS menolak PasMa sebagaimana Berjasa dan Hamim yang telah terkubur tanpa nisan suatu masa dahulu.


6. Rata-rata pimpinan yang dilihat berada dipihak Presiden seperti Dato Tuan Ibrahim, Ustaz Idris, YB Iskandar, Dato Mohd Amar, YB Ustaz Nasruddin Tantawi menjadi pilihan akar umbi kali ini. Sedangkan mereka yang dilihat membelakangi Presiden seperti Mat Sabu, Husam Musa, Dr Hatta, Khalid Samad, Dr Dzulkefly dan Hanifa Maidin tidak lagi menjadi pilihan ramai.


7. Pertembungan Ulama-Profesional yang sengaja direka, terbukti omongan palsu semata kerana Ustaz Ahmad Awang yang dikenali sebagai 'Ulama' juga tidak menjadi pilihan pendokong Kepimpinan Ulama. Sebaliknya YB Iskandar, antara ‘non-ulama’ pula menjadi pilihan ditonjolkan sebagai calon.


8. Pencalonan kali ini menunjukkan perubahan amat ketara apabila ramai penyandang-penyandang jawatan sedia ada tidak lagi popular sebagai calon kecuali YB Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub. Ini adalah petanda ahli bawahan tidak lagi mempercayai kebanyakan AJK PAS Pusat sekarang. Mereka mengharapkan PAS akan datang lebih baik dan mampu menyelesaikan konflik yang berlaku. Akar umbi juga percaya percaya riuh rendah dalam PAS bukan berpunca dari Presiden seperti yang digembar gemburkan pihak tidak bertanggungjawab.


9. Ustaz Ahmad Awang, antara nama baru yang naik akhir-akhir ini. Beliau membawa imej selamatkan PR, namun tidak mendapat tempat di hati akar umbi PAS. Walaupun beliau kerap turun padang sejak tahun lepas sama ada program anjuran PAS cawangan ataupun PasMa, ia tidak begitu membantu kempen beliau melainkan di tiga (3) Kawasan sahaja. Sebaliknya, beliau dilihat menjadi boneka kepada pihak tertentu semata-mata. Ternyata juga, sayangnya ahli PAS kepada PR tidak melampaui teguhnya mereka terhadap prinsip perjuangan PAS.


10. Kebanyakan pencalonan untuk Husam Musa dan Ustaz Ahmad Awang berlaku di awal tempoh MAT PAS Kawasan. Ia mungkin sebagai cara mempengaruhi Kawasan lain supaya berani mencalonkan Presiden selain TGHH. Sebaliknya, tindakan mereka mengumumkan pencalonan menyebabkan Kawasan lain juga mengumumkan pencalonan mereka secara terbuka bagi membuktikan mereka masih bersama TGHH. Berbeza dengan sikap sebelum ini di mana kebanyakan pencalonan diserahkan sahaja kepada AJK Kawasan yang dilantik.


11. Kebanyakan perwakilan MAT PAS Kawasan hanya mencalonkan jawatan Presiden, Timbalan dan Naib-naib sahaja. Kebanyakan pencalonan untuk Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pula diserahkan kepada AJK Kawasan yang baru dipilih pada MAT tersebut dengan meletakkan ‘syarat’ iaitu menyenaraikan nama yang tidak menentang ulama. Di sini menunjukkan bahawa perwakilan thiqah kepada AJK PAS Kawasan yang baru mereka pilih. Juga menunjukkan mereka menolak golongan yang dilihat menentang Kepimpinan Ulama. Keadaan ini menjadi petanda hubungan kuat akar umbi di PAS Cawangan dengan PAS Kawasan yang akan melonjakkan momentum kekuatan hingga ke atas.


12. Perubahan besar kepimpinan juga dilihat berlaku di beberapa kawasan. YB Ir Mohamad Nizar gagal pertahankan jawatan YDP Kampar, sementara PJ Melaka dan bekas PJ Selangor tewas di tempat masing-masing. Mereka ini antara yang dilihat tidak seiring dengan Presiden PAS.


13. Kebanyakan nama-nama baru yang agak kontroversi dalam PAS tidak disokong oleh ahli bawahan. Presiden PasMa, Ir Dato Phahrolrazi tidak lagi menjadi YDP Kuala Kedah. Kawasannya juga tidak membawa aspirasinya apabila tetap mencalonkan TGHH sebagai Presiden. Taiping yang menjadi tempat kelahiran Ustaz Ahmad Awang turut memilih TGHH sebagai Presiden.


14. PAS Kawasan Batu ditentang sayap-sayap ahli bawahan sendiri apabila berura-ura mencadangkan Husam Musa sebagai Presiden. Urusan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat mengeluarkan kenyataan bersama berdiri teguh di belakang Presiden.


15. Kawasan-kawasan yang memilih selain TGHH pula kebanyakannya adalah Kawasan yang dimaklumi tidak aktif. Bukit Gelugor di bawah YDP Dr Mujahid Rawa hanya mempunyai satu cawangan aktif. Batu Sapi di Sabah tidak mempunyai Cawangan. Tangga Batu, Melaka juga dimaklumi demikian. Rata-rata MAT PAS Kawasan tersebut dihadiri kurang dari 100 orang ahli atau lebih sedikit dari ahli PAS Cawangan-cawangan di Terengganu.


16. Kebanyakannya pencalonan datang dari Johor dan Negeri Sembilan mempunyai ahli sedikit dan kekuatan yang lemah hingga berlaku kes pembatalan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS). Negeri-negeri kuat seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor majoritinya bersama TGHH.


17. Walaupun masih berbaki kurang 60 Kawasan lagi, jurang perbezaan yang besar antara pencalonan tersebut tidak memberikan kesan besar untuk merubah ranking pencalonan sekarang melainkan diperingkat Naib Presiden.


18. Pencalonan ini adalah bayangan kabinet baru PAS 2015-2017. Sekiranya pemilihan kali ini berjalan dengan baik, keputusannya akan hampir sekata dengan pencalonan ini. Namun, timbul juga kekhuatiran pemilihan kali ini akan berlaku kepincangan melihatkan kepada rekod Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan yang teruk pada sesi lepas di mana wujud suara-suara tuntutan agar Asmuni Awi ditukar ganti oleh mereka yang lebih berkredibiliti