Tuesday, 19 May 2015

Pelawak dari kabinet: Bukan setakat bosan tapi dah naik meluat!

Rakyat sudah bosan dihiburkan dengan menteri pelawak

11:30AM Mei 19 2015

oleh Ahmad Mustapha Hassan






SEKILAS PANDANG: Kita diberitahu yang barang-barang akan menjadi lebih murah apabila GST dilaksanakan. Seorang individu daripada Kementerian Kewangan berulang kali memberitahu rakyat yang mereka tidak memahami matlamat pelaksanaan GST. Malah, dia menyindir yang mantan PM tidak memahami langsung tentang GST. Bukti jelas menunjukkan bagaimana seorang yang tidak pakar diberikan jawatan yang sangat penting.


GST sepatutnya menurunkan harga lebih kurang 300 barangan berbanding sewaktu barangan ini dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan pada kadar 10 peratus tetapi sehingga kini harga barangan tidak turun, peniaga pula yang disalahkan .


Ini ialah salah satu contoh jawapan klasik tentang GST. “ Harga banyak barang sepatutnya turun, maka GST akan memberi manfaat kepada rakyat. Harga kereta pun sudah turun, jadi mengapa harga barang lain tidak boleh diturunkan?” soal lelaki ini.


Masyarakat luar bandar pastinya tidak akan kagum dengan jenis logik seperti ini.


Di salah satu pilihanraya kecil yang berlaku baru-baru ini, calon kerajaan bengang dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang menteri, yang berkata bahawa rakyat kawasan pilihanraya gembira dengan GST. Walaupun calon itu menang pilihanraya kecil tersebut, majoritinya berkurangan dengan banyak. Itulah pertolongan yang diberikan oleh rakan kabinet PM.


Satu lagi teori yang dikeluarkan oleh seorang ahli kabinet yang lain pula menyentuh status wanita. Menteri wanita itu mencadangkan yang wanita, dalam usaha untuk dikenali, perlu bermain golf dan juga menulis rencana. Kemudian akan ada kemungkinan mereka akhirnya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat yang disenaraikan di bursa saham. Ini pastinya satu pendekatan baru bagi perjuangan mendaki tangga dunia korporat. Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka.


Dan lelaki yang pernah satu ketika dahulu dikenali sebagai seorang yang berintegriti menjadi kurang pandai apabila rapat dengan rakan kabinet lain yang bebal sebaik sahaja dia dilantik menjadi menteri. Dia mempunyai rekod perkhidmatan terlibat secara aktif menentang penyelewengan. Bagaimanapun, dia tidak bertindak, walaupun terdapat banyak dakwaan buruk kepada syarikat kerajaan 1MDB, yang telah kerugian RM 42bilion.


Sebaliknya dia mempertahankan politik perkauman. Ahli politik perlu dipilih menjawat jawatan dan ini hanya boleh ditentukan berdasarkan warna kulit, katanya.


Seorang timbalan menteri yang bijak pandai mencadangkan sebuah tembok dibina untuk menghalang pendatang tanpa izin masuk ke negara ini. Saya tertanya-tanya sejauh mana ia perlu dibina- 3km atau 6km untuk menjadikanya berkesan.


Satu lagi permata berharga diucapkan oleh seorang menteri yang berkata, “Satu dunia memuji kepimpinan negara ini, Datuk Seri Najib. Samada suka atau tidak, Obama memandang tinggi kepimpinan Najib,” dan dia menyambung, “ juga Presiden China, malah Turkey. Mereka ini ialah pemimpin dunia. “ Adakah menteri yang cetek akal ini tidak pernah mendengar perkataan diplomasi? Mereka semua hanya bersikap diplomatik.






Satu musibah besar apabila mereka yang dipilih untuk melakukan kerja yang bagus tetapi sebaliknya seringkali mengeluarkan kenyataan yang bebal.


Rakyat Malaysia secara alamiahnya bukanlah peminat lawak jenaka politik. Rakyat mengharapkan hasil positif daripada sesiapa yang memandu hala tuju negara. Pastinya tiada tempat untuk lawak jenaka dalam usaha agung membangunkan negara.


Malaysia dan rakyatnya masih belum merasai peningkatan kualiti dalam kehidupan mereka. Negara ini sudah merdeka lebih daripada 50 tahun dan ketika negara-negara jiran lain bergerak pantas mencapai status Dunia Pertama, Malaysia terjerumus ke dalam kekacauan agama dan kaum.


Ada orang dalam pentadbiran sedia ada sudah membuktikan mereka tidak layak memimpin dan sudah tiba masanya untuk perubahan kerajaan.

No comments:

Post a Comment